fb fb fb fb fb

Suspek kes kebocoran dokumen pertahanan Pentagon di tahan

(Foto AFP)

WASHINGTON, 14 April- Pihak berkuasa Amerika Syarikat menahan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes kebocoran maklumat pertahanan termasuk perang Ukraine.

Disiarkan secara langsung di rangkaian Televisyen, penahanan tersebut adalah kemuncak kepada penyiasatan selama seminggu yang mendapat liputan meluas pihak media berkenaan satu kebocoran maklumat sulit.

Peguam Negara, Merrick Garland mengesahkan penahanan lelaki yang disyaki membocorkan banyak dokumen sulit secara dalam talian.

Suspek, Jack Teixeira berusia 21 tahun merupakan pekerja Pengawal Kebangsaan Tentera Udara.

Suspek dilaporkan telah menjadi hos bagi perbincangan secara dalam talian di platform Discord sekali gus mendedahkan laporan ketenteraan yang disediakan Pentagon itu.

"Dia ditangkap berhubung penyiasatan ke atas dakwaan penyingkiran, pengekalan dan penghantaran maklumat sulit pertahanan negara yang tidak dibenarkan", kata Garland.

Agensi CNN menyiarkan rakaman dari North Dighton, Massachusetts menunjukkan tahanan berseluar pendek dibawa oleh ejen memasuki kenderaan tidak bertanda.


(Jack Teixeira yang disyaki terlibat dalam kes kebocoran dokumen sulit Pentagon ditahan/AFP)

Polis di bandar kecil di negeri timur laut itu berusaha untuk meyakinkan masyarakat tentang kehadiran penguatkuasa undang-undang.

Menerusi satu kenyataan, polis memaklumkan bahawa "tiada ancaman kepada keselamatan awam."

Sementara itu, Biro Pengawal Kebangsaan AS berkata, Teixeira telah mendaftar pada September 2019 dan merupakan pakar IT dan komunikasi yang berpangkat kelas pertama tentera udara, yang ketiga terendah untuk kakitangan tentera udara yang disenaraikan.

Dia akan didakwa di mahkamah persekutuan di Massachusetts.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin dalam kenyataan memuji Jabatan Kehakiman dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) "atas penangkapan pantas mereka berhubung siasatan tersebut.

Austin menambah bahawa dia mengarahkan "semakan semula akses risikan, akauntabiliti dan prosedur kawalan dalam Jabatan (Pertahanan) sebagai usaha untuk mencegah kejadian seperti ini daripada berulang.

Penangkapan Teixeira berlaku sehari selepas The Washington Post melaporkan bahawa ratusan halaman dokumen telah disiarkan di platform media sosial Discord oleh seorang lelaki yang bekerja di pangkalan tentera AS.-AFP

Media Baharu