COLOMBO, 29 November – Seramai 123 orang maut dan 130 lagi hilang selepas Sri Lanka dilanda banjir besar serta hujan lebat berterusan akibat Taufan Ditwah.
Menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC), lebih 43,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan selepas rumah mereka musnah.
Manakala Sungai Kelani melimpah sehingga memaksa ratusan orang berpindah segera.
Tentera dikerah menggunakan bot dan helikopter untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Sementara India menghantar bekalan bantuan kecemasan pagi tadi.
Hujan mulai reda di Colombo, namun beberapa kawasan utara terus menerima hujan susulan kesan taufan.
Pihak berkuasa memberi amaran paras banjir kali ini mungkin lebih buruk daripada kejadian 2016.
Jumlah korban bencana minggu ini merupakan yang tertinggi sejak Jun tahun lalu, dengan 26 orang maut akibat hujan lebat.
Pada Disember tahun lalu, 17 mangsa terkorban dalam kejadian banjir dan tanah runtuh.
Banjir paling buruk di Sri Lanka berlaku pada Jun 2003 yang mengorbankan 254 orang. - AFP