PORT LOUIS, 16 Januari- Mauritius menaikkan amaran kepada maksimum berikutan Taufan Belal yang melanda pulau Lautan Hindi itu.
Perdana Menterinya, Pravind Kumar Jugnauth mengesahkan satu kematian akibat taufan itu.
"Mayat seorang penunggang motosikal ditemukan di lebuh raya yang dinaiki air," kata Kumar menerusi kenyataan.
Tambahnya, insiden berkenaan turut menyebabkan ribuan penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik, selain banyak kenderaan yang tersadai di jalan-jalan yang ditenggelami banjir.
Sementara itu, Air Mauritius mengumumkan penangguhan beberapa penerbangan hari ini, termasuk ke Perancis dan Afrika Selatan.
Lapangan terbang antarabangsa di Mauritius juga ditutup buat sementara waktu.
Terdahulu, Belal yang menyerang wilayah Reunion di luar negara Perancis telah menyebabkan seorang terbunuh. - AFP