fb fb fb fb fb

Cetus keganasan di Vietnam, hampir 100 individu dihadapkan ke muka pengadilan

Foto AFP

HANOI, 16 Januari- Hampir 100 orang daripada kumpulan etnik minoriti di Vietnam telah dibicarakan pada Selasa selepas dituduh melakukan keganasan susulan serangan senjata api di Central Highlands.

Serangan itu telah mengakibatkan sembilan nyawa terkorban termasuk empat pegawai polis, dua pegawai tempatan dan tiga orang awam.

Pada Jun tahun lalu, sekumpulan penunggang motosikal dengan senjata api telah menyerang ibu pejabat ahli politik tempatan dan pejabat polis di daerah Cu Kin di wilayah Dak Lak, ketika awal pagi.

Orang awam adalah dilarang untuk memiliki senjata api, dengan keganasan senjata api di Vietnam amat jarang berlaku.

Lapor akhbar Tuoi Tre, perbicaraan pada Selasa itu menyaksikan 98 orang didakwa mencetuskan keganasan, seorang menyembunyikan penjenayah dan seorang lagi menjadi pengantara kepada pendatang haram.

Enam daripada tertuduh sedang dibicarakan secara tidak hadir (in absentia) dan berada di bawah waran tangkap antarabangsa.

"Kes itu amat serius, dengan pengganas bertujuan untuk menggulingkan negeri dengan misi mahu menubuhkan negara yang dipanggil negara Dega," kata H'Yim Kdoh, timbalan pengerusi Jawatankuasa Rakyat Dak Lak, menurut laporan Tuoi Tre.

Dega adalah salah satu kumpulan etnik minoriti dari kawasan Central Highlands Vietnam, kawasan kontroversi yang membabitkan isu hak tanah.

Tambah H'Yim,semasa penyiasatan, defendan mengaku terhadap pertuduhan yang dibacakan namun mengakui telah dipaksa melakukan serangan itu.

Polis merampas sejumlah 23 senjata api dan senapang, dua bom tangan, 1,199 peluru dan bahan letupan lain.

Perbicaraan dijadualkan selama 10 hari dan hukuman bagi kesalahan pengganas di Vietnam merangkumi hukuman mati.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM