HONG KONG, 16 April- Perkhidmatan pos Hong Kong pada Rabu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penghantaran barangan ke Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas tindakan “membuli” oleh Presiden Donald Trump dengan pengumuman kenaikan tarif yang mendadak.
Hongkong Post berkata pihaknya tidak akan memungut sebarang cukai bagi pihak kerajaan AS dan akan menggantung penerimaan bungkusan mengandungi barangan ke destinasi AS.
Penghantaran melalui laut dihentikan serta-merta manakala penghantaran melalui udara akan dihentikan bermula 27 April.
Keputusan itu menyusuli arahan eksekutif Trump awal bulan ini untuk menamatkan pengecualian cukai terhadap bungkusan kecil dari China, satu dasar yang sebelum ini membolehkan barangan bernilai AS$800 ke bawah memasuki pasaran AS tanpa cukai.
Selain itu, turut dikaitkan dengan kebangkitan syarikat e-dagang seperti Shein dan Temu.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi tarif agresif pentadbiran Trump, yang kini mengenakan tarif sehingga 145 peratus ke atas barangan dari China.
Beijing turut membalas dengan mengenakan tarif 125 peratus ke atas import dari AS.
Hong Kong, walaupun sebahagian daripada China, mempunyai dasar perdagangan bebas dan tidak mengenakan tarif balas seperti Beijing.
Namun, kenyataan terbaru Hongkong Post menggambarkan ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu.- AFP