fb fb fb fb fb

Ekonomi China berkembang 5.4 peratus pada suku pertama, mengatasi jangkaan

Foto REUTERS

BEIJING, 17 April- Ekonomi China mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2025, melepasi jangkaan pasaran, didorong oleh lonjakan eksport apabila para pengeluar mempercepat penghantaran barang sebelum tarif baharu Amerika Syarikat dikuatkuasakan.

Data rasmi yang diumumkan Biro Perangkaan Kebangsaan China (NBS) memberikan gambaran awal ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat menjejaskan pemulihan ekonomi negara itu, yang masih dibelenggu permintaan domestik yang lemah dan krisis hutang dalam sektor hartanah.

"Menurut anggaran awal, keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun pada harga tetap," kata NBS.

Angka itu melebihi ramalan sebanyak 5.1 peratus yang dijangkakan oleh penganalisis yang ditemu bual oleh AFP.

Pengeluaran industri juga melonjak sebanyak 6.5 peratus dalam suku pertama tahun ini, meningkat daripada 5.7 peratus dalam tiga bulan terakhir tahun 2024.

Sementara itu, jualan runcit, penunjuk utama permintaan pengguna, meningkat 4.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Namun, Beijing memberi amaran bahawa persekitaran ekonomi global semakin rumit dan mencabar, sekali gus memerlukan langkah lebih agresif untuk merangsang pertumbuhan dan penggunaan.

"Asas kepada pemulihan ekonomi yang berterusan masih belum kukuh," kata NBS, sambil menggesa pelaksanaan dasar makro yang lebih proaktif dan berkesan.

Ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat terus memuncak sejak Presiden AS Donald Trump melancarkan tarif baharu ke atas pelbagai negara, dengan tumpuan khusus terhadap barangan import dari China.

Tarif timbal balas kini menyaksikan kadar cukai AS terhadap produk China melonjak ke paras 145 peratus, manakala Beijing pula mengenakan tarif balas sebanyak 125 peratus ke atas import dari AS.-AFP

ROSLINA BINTI DIN