fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Uganda: 15 maut, 113 masih hilang

113 lagi mangsa masih hilang disyaki tertimbus selepas tanah runtuh pada Rabu/Foto AFP

KAMPALA, 29 November - Sekurang-kurangnya 15 orang maut manakala 113 lagi dilaporkan hilang selepas tanah runtuh melanda beberapa kampung di timur Uganda, semalam.

Kejadian berlaku lewat Rabu lalu, di sebuah kampung Masugu, daerah Bulambuli, yang terletak lima jam dari ibu negara, Kampala.

Kampung-kampung lain yang turut terjejas seperti Namachele, Natola, Namagugu, dan Tagalu.

Polis Uganda mengesahkan 15 mayat telah ditemui, manakala 15 mangsa lain cedera dan dihantar ke hospital.

Bagaimanapun, 113 mangsa masih hilang.

Perdana Menteri Robinah Nabbanja tidak menolak kemungkinan semua mangsa yang hilang dipercayai telah terkorban.

"Usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayat mereka yang tertimbus," katanya, sambil menambah bahawa 19 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal.

Jurucakap Palang Merah Uganda, Irene Nakasiita, melaporkan bahawa 45 rumah telah tertimbus sepenuhnya, dengan 15 mayat termasuk tujuh mayat kanak-kanak telah ditemui.

Operasi menyelamat terhalang ekoran jalan raya tidak dapat dilalui, menyebabkan ambulans dan kenderaan penyelamat sukar tiba di lokasi.

Kira-kira 500 askar dikeraehkan bagi operasi menyelamat, namun hanya 120 anggota berjaya sampai ke kawasan yang terjejas.

Kerajaan Uganda telah mengeluarkan amaran bencana kebangsaan susulan hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir di beberapa kawasan.

Tanah runtuh paling dahsyat di Afrika

Tragedi tanah runtuh paling dahsyat di Afrika berlaku di Freetown, ibu negara Sierra Leone, pada Ogos 2017 yang mana telah meragut 1,141 nyawa.

Sejarah tragedi di Uganda

Pada Februari 2010, lebih 350 orang maut akibat tanah runtuh di kawasan Gunung Elgon, timur Uganda.

Awal tahun ini, lebih 30 orang terkorban di Kampala selepas kejadian tanah runtuh besar melibatkan timbunan sampah.

GRACE AISYAH KEDAYAN