fb fb fb fb fb

Taiwan kesan 41 pesawat tentera China di sekitar wilayahnya

Beijing meningkatkan tekanan ke atas Taipei sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjalankan latihan simulasi perang di sekitar wilayah berkenaan berikutan pelantikan pemimpin baharu Taiwan, Lai Ching-Te, bulan lalu./ REUTERS

TAIPEI, 22 Jun- Taiwan mengesan 41 pesawat tentera China di sekitar wilayah itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Kejadian itu dilaporkan sehari selepas Beijing memberi amaran bahawa sesiapa sahaja yang cuba mendapatkan kemerdekaan Taiwan akan berdepan dengan hukuman mati.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, 32 daripada pesawat itu melintasi garisan pemisah di Selat Taiwan.

China mengancam hukuman mati bagi pejuang pemisah Taiwan yang tegar.

China menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan sudah berulang kali menegaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kekerasan bagi menguasai semula wilayah itu.

Beijing juga telah meningkatkan tekanan ke atas Taipei sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjalankan latihan simulasi perang di sekitar wilayah berkenaan berikutan pelantikan pemimpin baharu Taiwan, Lai Ching-Te, bulan lalu.

Pada 25 Mei lalu, Taiwan mengesan 62 pesawat tentera China di sekitar wilayah tersebut dalam tempoh 24 jam, iaitu jumlah keseluruhan tertinggi yang pernah dicatatkan tahun ini.

China menjalankan latihan tentera selepas Presiden Taiwan Lai Ching-Te, yang disifatkan China sebagai "pemisah yang berbahaya", dilantik untuk menyandang jawatan tersebut.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI