RAMALLAH, 13 Oktober – Dua buah bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel tiba di Ramallah, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Bawah perjanjian tersebut, Israel membebaskan 250 warga Palestin yang menjalani hukuman penjara jangka panjang serta 1,700 lagi individu yang ditahan di Gaza semasa peperangan, selepas pembebasan 20 tebusan Israel yang masih hidup.
Sebelum itu, Hamas membebaskan 20 tebusan Israel terakhir pada awal pagi Isnin di bawah perjanjian gencatan senjata berkenaan. Langkah itu dianggap sebagai perkembangan penting ke arah menamatkan dua tahun peperangan yang memusnahkan Gaza.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan pembebasan tersebut sebagai “fajar baharu yang bersejarah bagi Asia Barat”.
Tahanan Palestin yang dibebaskan tiba di Semenanjung Gaza serta Tebing Barat yang diduduki Israel, dengan sebahagian mereka kelihatan sangat kurus dan rambut dicukur.
Pembebasan tebusan dan tahanan Palestin itu merupakan komponen utama dalam fasa pertama perjanjian Gaza yang dimeterai minggu lalu di pusat peranginan tepi pantai Sharm el-Sheikh, Mesir.
Sidang kemuncak pada Isnin dijadualkan berlangsung di sana bagi membincangkan langkah membina asas ke arah keamanan berkekalan di Gaza. -REUTERS