DAMSYIK, 16 Julai – Syria mengecam keras serangan udara yang dilancarkan oleh Israel ke atas wilayah Sweida di selatan negara itu, kawasan yang majoritinya dihuni komuniti Druze, selepas serangan berdarah yang mengorbankan lebih 100 nyawa.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Syria menyifatkan tindakan Israel sebagai "pencerobohan khianat" yang dilakukan melalui serangan dron yang diselaraskan serta serangan udara ketenteraan.
"Republik Arab Syria mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan khianat oleh Israel melalui serangan udara dan dron yang terancang," menurut kenyataan itu. "Serangan ini telah mengorbankan beberapa anggota angkatan bersenjata dan pasukan keselamatan kami, selain beberapa orang awam yang tidak berdosa."
Damsyik turut menegaskan Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pencerobohan tersebut dan segala akibat yang bakal timbul.
"Kerajaan Syria meletakkan tanggungjawab penuh ke atas rejim Zionis atas pencerobohan ini dan segala kesan yang menyusul," tambah kenyataan itu, sambil menegaskan Syria mempunyai hak yang sah untuk mempertahankan tanah air dan rakyatnya menggunakan semua cara yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa. -AFP