fb fb fb fb fb

Kebuluran di Gaza menjadi kritikal menjelang akhir September ini

1.25 juta penduduk Gaza berdepan kebuluran kritikal / foto AFP

GAZA, 15 Julai - Beratus-ratus rakyat Palestin berkumpul di pusat bantuan di bandar Gaza bagi menerima makanan harian.

Pemerhati global mengatakan, pada bulan Mei setengah juta penduduk di Gaza menghadapi kekurangan makanan dan risiko berlakunya kebuluran yang kritikal menjelang akhir September depan.

Antara warga Gaza yang menunggu bantuan adalah Ghazi Alyan, 21 tahun, seorang rakyat Palestin yang berpindah dari Jabalia, mengatakan lebih banyak makanan diperlukan untuk kanak-kanak yang kelaparan.

"Mereka mengatakan ada rundingan, harapan untuk menghantar bantuan. Tapi, kami tidak melihat apa-apa di Gaza. Kami melihat kelaparan, kepungan dan kemusnahan," katanya semasa beratur di pusat bantuan makanan.

Satu daripada 10 kanak-kanak yang diperiksa di klinik yang dikendalikan oleh agensi PBB di Gaza sejak 2024 telah mengalami kekurangan zat makanan. Lebih 650,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun kini menghadapi kekurangan zat makanan yang teruk.

Agensi Bantuan PBB bagi pelarian Palestin UNRWA mengatakan telah memeriksa lebih daripada 240,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah usia lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan di Gaza.

Setakat ini, sekitar 1.25 juta penduduk Gaza berdepan kebuluran kritikal manakala 96 peratus daripada populasi termasuk lebih sejuta kanak-kanak mengalami kekurangan makanan yang teruk.

Pada 19 Mei, Israel mengenakan sekatan bantuan selama 11 minggu ke atas Gaza. UNRWA juga tidak dibenarkan daripada membawa misi bantuan ke semenanjung Gaza.

Walaupun gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel meneruskan sekatan dan serangan ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, telah mengorbankan lebih 57,800 rakyat Palestin. - REUTERS

HASRON BIN HASSAN