Syria, 15 Julai - Lebih 100 orang dilaporkan telah terbunuh di Syria sejak berlaku pertempuran berdarah antara tentera militan Druze dan suku Badwi yang bermula pada Ahad.
Menteri pertahanan Syria mengumumkan gencatan senjata di Suwayda pada pagi Selasa, dengan mengatakan bahawa satu perjanjian telah dicapai dengan tokoh-tokoh tempatan .
“Kepada semua unit yang beroperasi di bandar Suwayda, kami mengisytiharkan gencatan senjata sepenuhnya,” kata Menteri Pertahanan, Murhaf Abu Qasra di media sosial X .
Kementerian Pertahanan Syria juga telah mengerahkan pasukan tentera untuk menghentikan keganasan yang telah meragut ramai nyawa sejak Jumaat.
Susulan itu, Israel mengebom pasukan tentera Syria di sekitar Suwayda, apabila askar kerajaan memasuki bandar yang majoritinya daripada kumpulan Druze.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengarahkan tentera Zionis untuk bersedia mempertahankan kumpulan Druze di bandar Jaramana, Syria yang terletak 60 kilometer dari sempadan Israel.
Rejim Assad yang memerintah Syria selama hampir 25 tahun telah jatuh pada 8 Disember apabila Presiden Bashar al-Assad melarikan diri ke Rusia.
Sejak kejatuhan rejim Assad, Israel telah meluaskan pendudukannya di Dataran Tinggi Golan, Syria dengan merampas zon penampan .
Tindakan ini melanggar perjanjian 1974 antara Israel dan Syria. Selain itu, Israel juga terus meningkatkan serangan udara ke atas tentera Syria . - AFP