fb fb fb fb fb

Serangan dron gugat infrastruktur minyak di Kurdistan Iraq

Foto Reuters

DOHUK, 16 Julai - Operasi pengeluaran minyak di medan minyak Sarsang, wilayah Kurdistan Iraq, dihentikan pada Selasa susulan serangan dron, hanya beberapa jam sebelum syarikat pengendali dari Amerika Syarikat menandatangani perjanjian baharu untuk membangunkan medan minyak lain di Iraq.

Rakaman media tempatan menunjukkan asap hitam tebal menjulang dari kawasan kebakaran di tapak medan tersebut.

Medan minyak berkenaan dikendalikan oleh HKN Energy, sebuah syarikat minyak dan gas milik swasta dari Amerika Syarikat yang beroperasi aktif di wilayah Kurdistan Iraq.

HKN Energy dimiliki oleh Hillwood Energy, sebahagian daripada Kumpulan Hillwood yang diasaskan oleh Ross Perot Jr.

Kira-kira dua jam selepas serangan, Naib Presiden HKN, Matthew Zais, berada di Baghdad bagi menandatangani perjanjian awal dengan Menteri Minyak Iraq, Hayan Abdel-Ghani, untuk pembangunan medan minyak Himreen di utara Iraq, menurut kenyataan Kementerian Minyak Iraq.

Majlis pemeteraian perjanjian turut disaksikan Duta Besar Amerika Syarikat ke Iraq, Steven Fagin.

Dalam kenyataan susulan, Kedutaan AS mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas infrastruktur tenaga di wilayah Kurdistan dan menggesa kerajaan Iraq menjalankan siasatan terperinci serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Menurut jurutera pengeluaran di medan Sarsang dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga susulan letupan akibat serangan tersebut.

Pihak berkuasa wilayah Kurdistan mengesahkan bahawa letupan berpunca daripada serangan dron.

Setakat ini, tiada kumpulan yang tampil mengaku bertanggungjawab, namun sumber keselamatan tempatan memaklumkan bahawa siasatan awal menunjukkan dron itu dilancarkan dari kawasan yang dikuasai militan disokong Iran. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN