BERLIN, 16 Julai – Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul menyuarakan keyakinan Kesatuan Eropah (EU) berada pada fasa akhir untuk meluluskan pakej sekatan baharu terhadap Rusia, meskipun terdapat halangan yang masih berlarutan.
Bercakap dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Slovenia, Tanja Fajon di Berlin, Wadephul berkata pakej sekatan tersebut berkemungkinan akan diselaraskan bersama langkah sekatan tambahan oleh Amerika Syarikat.
“Kesatuan Eropah berada di landasan yang betul. Kami percaya kelulusan akan dapat dicapai dalam masa terdekat,” katanya.
Namun begitu, usaha EU untuk meluluskan pakej sekatan baharu masih tertangguh selepas gagal mencapai persetujuan pada Selasa.
Slovakia dilaporkan menjadi penghalang utama dalam rundingan tersebut.
Negara itu menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan berasingan EU untuk menamatkan secara berperingkat import gas dari Rusia menjelang 1 Januari 2028, dan menegaskan isu tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi persetujuan kepada sekatan baharu. -REUTERS