fb fb fb fb fb

Brazil mohon lanjutan rundingan tarif 50% dengan AS

Foto Reuters

BRASILIA, 16 Julai – Brazil akan memohon lanjutan tempoh rundingan berhubung cukai tarif sebanyak 50 peratus yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan eksport negara itu, kata Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin.

Menurutnya, Brazil sedang berusaha untuk membatalkan pengenaan tarif tersebut secepat mungkin bagi mengelakkan kesan buruk terhadap ekonomi negara.

“Tempoh rundingan semasa adalah sangat singkat,” ujar Alckmin dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil industri utama di ibu negara, Brasilia.

Tarif berkenaan dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, sekali gus mencetuskan siri perbincangan segera antara pegawai kerajaan dan pemimpin sektor perindustrian Brazil.

Alckmin turut menyifatkan langkah itu bukan sahaja tidak adil kepada Brazil, malah akan merugikan pihak AS sendiri.

Rundingan yang sedang dijalankan merangkumi pelbagai sektor strategik, termasuk industri pesawat, keluli dan automotif.

Pihak Brazil turut merancang untuk mempercepatkan rundingan dengan wakil perniagaan dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengeksport Daging Lembu Brazil (ABIEC), Roberto Perosa, memaklumkan syarikat pengeluar daging di Brazil sedang menilai kemungkinan untuk meneruskan penghantaran baharu produk daging lembu ke pasaran Amerika Syarikat. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN