BOGOTA, 16 Julai – Persidangan kecemasan dua hari anjuran Kumpulan Hague, yang disertai 32 buah negara bermula di ibu negara Colombia, Bogota, dengan gesaan utama agar semua negara menggantung serta-merta sebarang bentuk hubungan dengan Israel susulan tindakan rejim itu di wilayah Palestin.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Francesca Albanese, yang turut menghadiri persidangan tersebut, menegaskan bahawa hubungan dengan Israel perlu disemak dan digantung serta-merta.
Beliau menyeru agar penggantungan itu merangkumi semua bentuk kerjasama termasuk ketenteraan, strategik, politik, diplomatik dan ekonomi.
Tegasnya, tindakan itu juga perlu diperluas kepada sektor swasta termasuk syarikat insurans, institusi kewangan, dana pencen, universiti serta penyedia rantaian bekalan.
Kumpulan Hague menyatakan matlamat mereka adalah untuk menyelaraskan tindakan undang-undang dan diplomatik terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.
Antara negara yang menyertai persidangan itu termasuk Brazil, Chile, Sepanyol, Ireland, Mexico, Afrika Selatan, Colombia dan Venezuela.
Persidangan tersebut diadakan dalam konteks desakan masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap tindakan Israel di wilayah Palestin, khususnya di Gaza, yang terus mencetuskan kebimbangan berhubung pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. -REUTERS