fb fb fb fb fb

Syarikat penerbangan global terganggu akibat konflik Iran-Israel

Foto AFP

Paris, 24 Jun - Syarikat penerbangan global telah menggantung atau mengurangkan penerbangan di Asia Barat susulan konflik antara Israel dan Iran.

Antaranya, Air France menghentikan penerbangan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga sekurang-kurangnya pada Selasa.

Syarikat penerbangan itu juga melanjutkan penggantungan laluan Paris-Tel Aviv hingga 14 Julai.

Penerbangan tambang rendah Air France Transavia dari Paris ke Beirut telah digantung hingga 30 Jun manakala laluan Tel Aviv ditutup hingga 7 September.

Kumpulan Lufthansa Jerman meliputi syarikat penerbangan lain termasuk Switzerland, Austria dan Itali telah menggantung penerbangan ke Asia Barat hingga 30 Jun.

Laluan Amman dan Erbil, Iraq juga digantung hingga 11 Julai.

Kumpulan itu tidak akan terbang ke Tel Aviv dan Tehran hingga 31 Julai dan juga mengelak ruang udara negara yang terlibat dalam konflik terbabit.

Syarikat Penerbangan Aegean Greece juga umum telah menghentikan penerbangan Tel Aviv hingga 12 Julai.

"Laluan Amman, Beirut dan Erbilnya ditutup sehingga 28 Jun," katanya.

Syarikat penerbangan Turki Pegasus telah membatalkan penerbangan ke Iraq, Jordan dan Lubnan hingga 30 Jun, manakala Iran hingga 30 Julai.

Syarikat penerbangan Turkish Airlines pada hari Isnin membatalkan baki penerbangannya ke Bahrain, Dammam, Doha, Dubai, Kuwait, Abu Dhabi dan Muscat.

"Tiada penerbangan Turkish Airlines ke Baghdad, Damsyik dan Tehran tersedia sebelum 1 Julai," jelasnya lagi.

Air Canada pula menggantung sementara perkhidmatan tanpa henti hariannya dari Toronto ke Dubai mulai 18 Jun dan memberi amaran bahawa penggantungan itu boleh dilanjutkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Qatar, Kuwait dan Bahrain juga menutup ruang udara mereka pada Isnin.

EgyptAir berkata syarikat itu membatalkan semua penerbangan ke negara-negara Teluk sehingga keadaan reda.

Emirates yang berpangkalan di Dubai telah berhenti terbang ke Tehran dan Baghdad hingga 30 Jun tetapi menyatakan semua destinasi lain beroperasi seperti biasa.

Syarikat penerbangan tambang rendah FlyDubai telah menggantung perkhidmatan ke Iran, Iran, Israel, Syria dan Saint-Petersburg hingga 30 Jun. Manakala Oman Air menggantung perkhidmatan ke Amman hingga Selasa.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan Asia, Singapore Airlines telah membatalkan lapan penerbangan ke Dubai iaitu dua kali setiap hari bermula Ahad hingga Rabu.

NORAINI BINTI WAHIB