GENEVA, 24 Jun - Dianggar 2.5 juta pelarian di seluruh dunia perlu ditempatkan semula tahun depan, ketika Amerika Syarikat (AS) dan juga negara lain mengecilkan akses penempatan semula.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), keperluan itu berkurangan sedikit berbanding tahun ini apabila kira-kira 2.9 juta pelarian dianggarkan memerlukan penempatan semula.
"Ini terutamanya disebabkan oleh keadaan yang berubah di Syria yang membenarkan pemulangan secara sukarela," kata jurucakap UNHCR Shabia Mantoo.
Jelasnya pada 2026, populasi pelarian terbesar yang mungkin perlu ditempatkan semula ialah warga Afghanistan, Syria, Sudan Selatan, Rohingya (Myanmar) dan Congo.
Kebanyakan pelarian memerlukan penempatan semula dari negara tuan rumah utama termasuk Iran, Turki, Pakistan, Ethiopia dan Uganda," katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika usaha penempatan semula UNHCR menghadapi halangan yang besar.
"Tahun ini, kuota penempatan semula dijangka paling rendah dalam dua dekad, menurun di bawah paras yang dilihat walaupun semasa pandemik Covid-19, apabila banyak negara menghentikan program mereka," kata Mantoo.
Sebahagian daripada penurunan itu dikaitkan dengan AS yang kini telah menutup pintunya kepada pelarian.
Mantoo menegaskan bahawa masalahnya bukan hanya dengan satu negara.
"Pihak kami mempunyai petunjuk bahawa beberapa negara sedang mengurangkan atau menyesuaikan kuota," katanya.
Bagi mengiktiraf bahawa keperluan jauh melebihi daripada tempat yang ada, beliau berkata masyarakat antarabangsa telah menetapkan matlamat untuk menempatkan semula 120,000 pelarian tahun hadapan.
"Sejarah terkini menunjukkan bahawa ini boleh dicapai. Tahun lepas walaupun menghadapi cabaran, UNHCR menyokong penempatan semula 116,000 pelarian di seluruh dunia," jelas beliau di sini.