BEIJING, 24 Jun - Menteri Luar China Wang Yi menyatakan Beijing menyokong Iran dalam mencapai 'gencatan senjata tulen', kerana Israel menuduh Tehran melanggar gencatan senjata yang rapuh.
Demikian menurut kenyataan Kementerian Luar China.
"China menyokong Iran dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negaranya dan atas dasar itu, (keperluan) mencapai gencatan senjata tulen supaya orang ramai dapat kembali ke kehidupan normal," kata Wang kepada rakan sejawatannya dari Iran Abbas Araghchi menerusi panggilan telefon.
Wang berkata China telah segera "menyuarakan kecaman" selepas AS menyerang kemudahan nuklear utama di Iran pada Sabtu lepas.
"Serangan tentera ke atas kemudahan nuklear yang berada di bawah perlindungan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa secara serius melanggar tujuan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa," tambah Wang.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pihaknya "menahan diri" daripada serangan lanjut ke atas Iran pada Selasa selepas berhubung menerusi panggilan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Israel telah menuduh Tehran melanggar perjanjian gencatan senjata yang rapuh dengan melepaskan dua peluru berpandu.
Susulan itu, Menteri Pertahanan Israel Katz segera berjanji "untuk bertindak balas secara paksa".
Bagaimanapun, Trump menerusi platform Truth Socialnya pada Selasa memberi amaran kepada Israel agar tidak mengebom Iran, menyifatkannya sebagai “pelanggaran besar” terhadap perjanjian gencatan senjata.