PALM BEACH, 4 Januari - Amerika Syarikat (AS) akan membenarkan syarikat-syarikat minyak negara itu masuk ke Venezuela untuk memanfaatkan rizab minyak mentahnya.
Perkara tersebut diumum Presiden AS, Donald Trump pada sidang akhbar di Florida selepas pelaksanaan operasi ketenteraan ke atas Venezuela.
"Kita akan meminta syarikat minyak Amerika Syarikat yang terbesar di mana-mana sahaja di dunia, masuk dan membuat pelaburan berbilion dolar bagi membaiki infrastruktur minyak yang rosak teruk.
''Syarikat-syarikat tersebut akan mula mengaut keuntungan untuk negara,'' jelas Trump.
Trump juga berkata, 'embargo' ke atas semua minyak Venezuela masih berkuat kuasa sepenuhnya.
Dalam operasi berkenaan tentera AS telah menangkap pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya dan diterbangkan ke New York.
Maduro, menurut Trump akan dikenakan tuduhan telibat dalam pengedaran dadah dan senjata.
Washington mengenakan sekatan ekonomi ke atas Venezuela pada 2017, diikuti dengan sekatan minyak dua tahun kemudian.
Venezuela menghasilkan hampir sejuta tong minyak mentah sehari, menurut Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), dan menjual kebanyakannya di pasaran gelap dengan diskaun yang tinggi.
Trump mendakwa Caracas menggunakan wang minyak untuk membiayai 'keganasan dadah, pemerdagangan manusia, pembunuhan dan penculikan'.
Pada permulaan penggal keduanya pada tahun 2025, beliau menamatkan lesen yang membenarkan syarikat minyak dan gas multinasional beroperasi di Venezuela walaupun terdapat sekatan, dengan syarikat AS, Chevron satu-satunya yang menerima pengecualian.
Chevron mengendalikan empat medan minyak di Venezuela dengan kerjasama PDVSA milik negara dan sekutunya.
Washington juga telah mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas kapal tangki pergi dan balik dari Venezuela.
Wilayah Venezuela mengandungi kira-kira 17 peratus daripada rizab minyak dunia, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada tahun 2023.
Minyak Venezuela berkualiti rendah dan kebanyakannya diproses menjadi diesel atau hasil sampingan seperti asfalt, bukannya petrol.
AS mempunyai kilang penapisan di sekitar Teluk Mexico yang direka khas untuk mengendalikannya.-AFP