fb fb fb fb fb

Sri Lanka tarik balik sekatan import kenderaan menjelang 2025

FOTO REUTERS

COLOMBO, 16 Jun - Pihak berkuasa Sri Lanka merangka pelan hala tuju awal untuk mengurangkan sekatan import kenderaan bermotor menjelang 2025, menurut laporan media tempatan memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat.

Menurut IMF, pelan ini bermula dengan membenarkan import kenderaan penumpang awam, kenderaan bagi tujuan khas pada suku ketiga 2024, diikuti dengan kenderaan pengangkutan barang pada suku keempat tahun yang sama.

Menjelang 2025, Sri Lanka akan menarik balik sepenuhnya sekatan import ke atas semua kenderaan bermotor, lapor Xinhua memetik IMF.

Sri Lanka mengenakan larangan import kenderaan berikutan impak pandemik koronavirus pada 2021 dan 2022 dan keputusan itu diteruskan berikutan krisis ekonomi yang dihadapi oleh negara berkenaan.

Kerajaan Sri Lanka mengehadkan import 1,465 barangan pada Ogos 2022 berikutan krisis ekonomi tetapi menarik balik sekatan ke atas kebanyakan barangan.

Data rasmi menunjukkan bahawa jumlah perbelanjaan import Sri Lanka pada 2022 mencecah lebih US$18 bilion, mencatatkan penurunan sebanyak 11.4 peratus berbanding 2021. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF