fb fb fb fb fb

Sri Lanka larang penjawat awam guna media sosial luah pendapat berhubung isu pelajar kekurangan makanan

COLOMBO, 28 September - Penjawat awam di Sri Lanka diingatkan supaya tidak meluahkan sebarang pandangan di media sosial berhubung dakwaan beberapa pegawai bahawa insiden pelajar sekolah pengsan akibat kekurangan makanan, berpunca daripada krisis ekonomi yang teruk di negara itu.

Menerusi perintah kepada 1.5 juta kakitangan kerajaan negara itu, Kementerian Pentadbiran Awam dan Pengurusan menegaskan, larangan berbuat demikian sudah lama dilaksanakan, namun kini semakin berleluasa.

"Menyatakan pendapat di media sosial oleh pegawai awam... akan menjadi satu kesalahan yang membawa kepada tindakan tatatertib," kata perintah itu.

Ia susulan dakwaan pegawai kesihatan wilayah dan guru bahawa berpuluh-puluh pelajar pengsan di sekolah kerana kekurangan makanan.

Sejak akhir 2021, 22 juta penduduk Sri Lanka mengalami krisis ekonomi paling teruk pernah berlaku di negara itu, selepas kerajaan kehabisan wang untuk mengimport barang keperluan.

(FOTO FAIL/AFP)

Ini mencetuskan masalah kekurangan makanan yang teruk dan kadar inflasi tidak rasmi yang kedua tertinggi selepas Zimbabwe, serta bantahan yang membawa kepada penyingkiran Presiden Gotabaya Rajapaksa pada bulan Julai.

Menteri Kesihatan, Keheliya Rambukwella menolak dakwaan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Beliau menuduh pekerja kesihatan awam hanya "bermotifkan politik" dan membesar-besarkan keadaan.

Bagaimanapun, laporan terbaharu Program Makanan Sedunia mendedahkan sebanyak 6 juta rakyat Sri Lanka, hampir satu pertiga daripada penduduk negara pulau itu "tidak mempunyai jaminan makanan dan memerlukan bantuan kemanusiaan".

Pengganti Rajapaksa, Ranil Wickremesinghe telah bertindak keras terhadap penunjuk perasaan antikerajaan dan mengharamkan demonstrasi di kebanyakan kawasan ibu negara. - AFP

Media Baharu