fb fb fb fb fb

Srettha berdepan tugas getir pulihkan ekonomi Thailand

(FOTO AFP)

BANGKOK, 24 Ogos - Perdana Menteri Thailand yang baharu, Srettha Thavisin dilihat berdepan cabaran bagi memulihkan semula ekonomi negara berkenaan yang dilihat tidak memberangsangkan.

Sehari sebelum pelantikan Srettha disahkan parlimen, negara itu melaporkan unjuran pertumbuhan ekonominya hanya berkembang sekitar 1.8 peratus bagi tempoh April sehingga Jun.

Unjuran tersebut jauh daripada ramalan pakar ekonomi yang meramalkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus.

Menurut Ketua Bank pusat Thailand, Sethaput Suthiwartnarueput unjuran pertumbuhan tersebut bukanlah gambaran kepada situasi ekonomi negara itu.

"Terdapat beberapa kelemahan. Eksport menjadi lebih lemah daripada jangkaan disebabkan kelembapan ekonomi China.

"Jumlah hasil daripada pelancongan juga lebih perlahan disebabkan oleh kekurangan kedatangan pelancong China daripada jangkaan," kata Sethaput.

Selain itu, selepas beberapa bulan pentadbiran sementara dan kekacauan politik selepas pilihan raya umum Mei, kerajaan pimpinan Srettha harus membantu memulihkan pasaran saham Thailand yang terjejas teruk.

Indeks saham utama Thailand (SETI) meningkat 0.2 peratus pada Rabu tetapi baht susut 0.2 peratus berbanding dolar, berikutan demonstrasi pada Selasa.

Menyedari hal berkenaan, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dalam ucapan pertamanya pada Rabu berikrar untuk menyediakan penyelesaian bagi memperbaiki semula ekonomi dan mengurus belanjawan secara telus.

"Thailand berada pada persimpangan penting," katanya, "Saya yakin bahawa empat tahun akan datang adalah empat tahun perubahan", kata Srettha.

Pada pilihan raya umum lalu, Srettha dan parti Pheu Thai berjanji untuk mensasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5 peratus setiap tahun, meningkatkan gaji minimum harian dan peningkatan pendapatan bagi para petani sebanyak tiga kali ganda.

Selain itu, parti berkenaan turut berjanji untuk mengurangkan tambang kereta api bandar, tenaga, elektrik dan kos gas, selain menyediakan moratorium hutang selama setahun untuk perniagaan kecil yang dilanda COVID-19.

Namun, Srettha, yang masih belum mengumumkan pasukan ekonominya perlu memberi tumpuan kepada pengurangan perbelanjaan sara hidup dan kos sektor swasta, termasuk bahan api dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Pada kempen Pilihan Raya lalu, Settha dilaporkan berjanji bagi memulihkan ekonomi negara itu yang dilanda pandemik, meningkatkan pendapatan isi rumah, menyokong perniagaan kecil dan merapatkan jurang ekonomi di negara yang mempunyai populasi seramai 71 juta orang itu.

Kini, Srettha Thavisin perlu melaksana dan mengotakan janji-janji tersebut.-REUTERS


(Perdana Menteri Thailand yang baharu, Srettha Thavisin/FOTO AFP)

Media Baharu