fb fb fb fb fb

Percubaan pelancaran satelit Korea Utara, langgar resolusi PBB - White House

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 24 Ogos- Percubaan pelancaran satelit Korea Utara yang berakhir dengan kegagalan pada Khamis, melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dan White House, Washington meminta agar Pyongyang membuka ruang untuk sesi dialog tanpa prasyarat.

"Amerika Syarikat menggesa Korea Utara untuk mengelak daripada aktiviti mengancam lagi," kata jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

White House dalam kenyataan berasingan berkata pintu diplomasi masih "belum ditutup" tetapi Pyongyang perlu segera menghentikan tindakan provokasi dan sebaliknya memilih untuk kerjasama.

Tentera AS sedang menilai keadaan semasa secara rapat dengan sekutu dan rakan kongsinya, selain mendesak semua negara mengecam percubaan pelancaran oleh Korea Utara itu.

"Amerika Syarikat mengutuk sekeras-kerasnya Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) kerana pelancarannya menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, meski menemui kegagalan.

Ia merupakan pelanggaran yang tidak berbelah bahagi terhadap beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB sekali gus menimbulkan ketegangan dan berisiko menjejaskan kestabilan situasi keselamatan di negara ini, rantau ini dan masyarakat dunia," kata White House dalam kenyataan.


(FOTO REUTERS)

Percubaan kedua Korea Utara untuk menempatkan satelit pengintip di orbit pada Khamis gagal apabila roket penggalak itu mengalami masalah pada peringkat ketiganya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa angkasa lepas negara itu berikrar untuk mencuba lagi pada bulan Oktober.

Percubaan pertamanya pada Mei juga berakhir dengan kegagalan, apabila roket Chollima-1 baharu terhempas ke dalam laut.

Negara bersenjata nuklear itu telah berusaha untuk meletakkan satelit pengintip tenteranya yang pertama ke orbit bagi memantau pergerakan tentera AS dan Korea Selatan.

Amerika Syarikat dan negara-negara lain menyatakan kebimbangan tentang pelancaran satelit itu.

Amerika Syarikat akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan AS dan pertahanan Korea Selatan dan sekutu Jepun, kata Rumah Putih.

"Sebarang pelancaran DPRK (Korea Utara) yang menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, termasuk SLV yang digunakan untuk melancarkan satelit ke angkasa, melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB." - REUTERS

Media Baharu