fb fb fb fb fb

EU salur bantuan kemanusian ke timur DR Congo

(FOTO https://reliefweb.int)

BRUSSELS, 23 OGOS – Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu mengumumkan penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi udara di timur Republik Demokratik Congo; membawa bekalan yang sangat diperlukan ke bandar Goma.

Operasi itu, dilihat sebagai tindakan susulan kepada rayuan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bagi menyumbang kepada sejumlah besar penduduk negara itu yang dilanda pertempuran kumpulan bersenjata dan penghijrahan besar-besaran, kata Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Janez Lenarcic.

Kesatuan Eropah akan menghantar 180 tan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bekalan lain melalui dua penerbangan dari Eropah ke ibu negara Kenya, Nairobi.

Menerusi Nairobi, sebanyak lapan penerbangan akan membawa bantuan ke Goma, dengan dua daripadanya telah dilaksanakan kelmarin, kata pegawai EU.

Awal Ogos lalu, PBB menyatakan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin meruncing di tiga wilayah di Timur Republik Demokratik Congo iaitu di Kivu Utara, Kivu Selatan dan Ituri yang menyaksikan hampir 5.6 juta orang telah kehilangan tempat tinggal sejak 16 bulan lalu.

Kumpulan militan dan pemberontak telah bertempur di kebanyakan kawasan di Timur Republik Demokratik Congo selama beberapa dekad, sebahagian besar merupakan warisan daripada peperangan yang meletus pada akhir abad lalu.

Kumpulan bersenjata, M23, telah menawan sebahagian besar Kivu Utara sejak melancarkan pertempuran semula pada akhir 2021 selepas beberapa tahun tidak aktif.

Pakar bebas PBB, kerajaan dan beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Perancis menuduh Rwanda menyokong M23 secara aktif, walaupun Kigali menafikannya. – AFP


(FOTO civil-protection-humanitarian-aid.ec.europa.eu)

Media Baharu