YANGON, 22 Oktober - SpaceX telah menyekat perkhidmatan lebih 2,500 peranti internet satelit Starlink di pusat penipuan siber terbesar di Myanmar.
Perkara itu disahkan naib presiden operasi perniagaan Starlink di SpaceX, Lauren Dreyer menerusi catatan di laman 'X', susulan pendedahan agensi berita AFP berhubung operasi hab jenayah siber di negara itu.
Sementara itu, seorang wartawan AFP melihat ratusan orang melarikan diri dari KK Park yang terletak bersempadan dengan Thailand ketika tindakan keras terhadap hab jenayah siber itu diteruskan.
Siasatan AFP bulan ini membongkar aktiviti pembinaan yang aktif di pusat penipuan tersebut, khususnya di kawasan sempadan Myawaddy, walaupun tindakan mengempur bagi menutup pusat itu telah dihebahkan pada awal tahun ini.
Kebanyakan pusat itu dilihat telah memasang sejumlah besar peranti internet Starlink di atas bumbung mereka selepas negara jiran, Thailand memutuskan sambungan internet dan kuasa mereka.
Junta Myanmar minggu ini mendakwa telah menutup operasi penipuan dalam talian berskala besar berhampiran sempadan Thailand serta menahan lebih 2,000 individu dan merampas puluhan terminal internet satelit Starlink.
Pada Rabu, wartawan AFP melaporkan melihat lebih 1,000 orang keluar dari pusat jenayah siber itu sama ada dengan berjalan kaki atau menunggang motosikal dan bersesak-sesak dalam trak pikap, dengan seorang pekerja KK Park mengesahkan operasi serbuan masih dijalankan. -AFP