BANGKOK, 22 Oktober - Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Vorapak Tanyawong meletak jawatan ekoran tuduhan yang mengaitkan beliau dengan pusat penipuan siber yang berpangkalan di Kemboja.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan Tanyawong, seorang pakar kewangan yang baharu mengambil alih jawatan itu bulan lepas, untuk mengemukakan penjelasan bertulis minggu ini berhubung tuduhan itu.
Vorapak berada bawah pengawasan selepas timbul laporan mengaitkannya dengan kes penipuan asing yang didakwa dikaitkan dengan operasi 'scam' rentas sempadan di Kemboja.
Terbitan berkala 'Whale Hunting' mendakwa bahawa isteri Vorapak telah dibayar $3 juta dolar Amerika Syarikat dalam mata wang kripto tahun ini oleh rangkaian jenayah China-Kemboja, pada ketika beliau dipertanggungjawabkan untuk menyiasat jenayah itu sebagai sebahagian daripada jawatankuasa kerajaan.
Terbitan itu turut melaporkan bahawa Vorapak pernah disenaraikan sebagai penasihat kepada BIC Bank, sebuah bank Kemboja yang dikaitkan dengan rangkaian pengubahan wang haram.
Vorapak pada Rabu menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti haram pada Rabu dan memaklumkan kepada media bahawa keputusannya meletak jawatan adalah untuk memberi tumpuan kepada proses membersihkan namanya daripada pertuduhan tersebut.
"Untuk mempertahankan diri daripada pertuduhan itu, saya memerlukan masa dan saya khuatir ia akan mengganggu peranan utama saya di kementerian kewangan," katanya pada sidang media. - AFP