fb fb fb fb fb

Sokongan terhadap Marcos Jr menjelang pemilihan presiden Filipina meningkat



FOTO AFP

MANILA, 14 Februari - Ferdinand Marcos Jr mengukuhkan kedudukan berbanding pesaingnya menjelang Pilihan Raya Presiden Filipina pada Mei ini, menurut hasil tinjauan terbaharu yang dikeluarkan.

Tinjauan itu menunjukkan Marcos mendahului 44 mata berbanding Naib Presiden, Leni Robredo pada Januari lalu.

Sebanyak 2,400 responden diminta membuat pilihan pertama mereka untuk presiden dan naib presiden jika pilihan raya diadakan.

60 peratus menyatakan sokongan kepada Marcos, manakala 16 peratus memilih Robredo.

Bintang tinju antarabangsa, Manny Pacquiao dan Datuk Bandar Manila, Francisco Domagoso ketinggalan dengan lapan peratus manakala Senator Panfilo Lacson sebanyak empat peratus.

Naib presiden pilihan Marcos, Sara Duterte-Carpio, kekal sebagai pilihan utama naib presiden, mendahului 21 mata berbanding pesaing terdekatnya, Presiden Senat, Vicente Sotto.

Tinjauan terbaharu Pulse Asia diadakan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina minggu lalu menolak beberapa aduan bertujuan melucutkan kelayakan Marcos, sekali gus menghapuskan halangan besar baginya dalam pemilihan 9 Mei.

 

Media Baharu