WASHINGTON, 21 Januari- Presiden baharu Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengarahkan penangguhan selama 75 hari terhadap penguatkuasaan undang-undang yang secara efektif melarang TikTok.
Perintah eksekutif tersebut menangguhkan pelaksanaan Akta Melindungi Rakyat Amerika Daripada Aplikasi Kawalan Musuh Asing, yang berkuat kuasa pada 19 Januari dan akan melarang pengedaran serta kemas kini TikTok di Amerika Syarikat.
Trump sebelum ini berjanji untuk bertindak pantas menyelamatkan TikTok daripada undang-undang yang diluluskan secara besar-besaran oleh Kongres dan ditandatangani oleh Presiden Joe Biden tahun lalu.
"Saya rasa saya mula mempunyai rasa simpati terhadap TikTok yang sebelum ini tiada. Tetapi, saya menggunakan TikTok dan saya berjaya menarik undi golongan muda," kata Trump ketika menandatangani perintah tersebut, memuji aplikasi itu kerana membantunya mendapatkan undi belia dalam pilihan raya.
Larangan TikTok itu diluluskan berikutan kebimbangan bahawa kerajaan China boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk mengintip rakyat Amerika atau secara rahsia mempengaruhi pendapat awam AS melalui pengumpulan data dan manipulasi kandungan.
TikTok telah menghentikan operasinya di Amerika Syarikat pada lewat malam Sabtu selepas tarikh akhir berkuat kuasa, meninggalkan berjuta-juta pengguna yang kecewa kerana tidak dapat mengakses aplikasi itu.
Trump berjanji untuk mengeluarkan perintah eksekutif sebaik sahaja beliau memegang jawatan untuk menangguhkan larangan itu bagi memberi masa untuk "membuat perjanjian."
TikTok kembali beroperasi di Amerika Syarikat pada hari Ahad dan mengucapkan terima kasih kepada Trump atas keputusan pembatalan larangan tersebut meskipun pentadbiran Biden yang lalu telah menyatakan bahawa ia tidak akan menguatkuasakan sebarang larangan.
Bawah perintah itu, peguam negara dikehendaki mengeluarkan garis panduan untuk melaksanakan penangguhan dan menghantar surat kepada penyedia perkhidmatan yang mengesahkan bahawa mereka tidak akan dikenakan liabiliti kerana terus mengehos atau mengemas kini TikTok dalam tempoh ini.
Penjelasan itu amat penting bagi syarikat seperti Apple dan Google, yang jika tidak, terpaksa membuang TikTok daripada gedung aplikasi mereka dan menyekat kemas kini, dengan risiko penalti sehingga AS$5,000 setiap pengguna jika aplikasi itu diakses.
Oracle, yang mengehos pelayan TikTok di AS, juga diwajibkan secara undang-undang untuk menguatkuasakan larangan itu.
Penangguhan selama 75 hari itu bertujuan memberi masa kepada pentadbiran baharu untuk "mencari penyelesaian yang melindungi keselamatan negara sambil menyelamatkan platform yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika," menurut perintah tersebut.-AFP