fb fb fb fb fb

'Nenek moyang' jerung putih gergasi berusia 9 juta tahun ditemui di Peru

FOTO REUTERS

LIMA, 20 Januari- Ahli paleontologi di Peru pada Isnin mendedahkan fosil berusia sembilan juta tahun yang merupakan spesies luluhur jerung putih gergasi yang pernah menghuni perairan di selatan Lautan Pasifik, di mana ia gemar memakan ikan sardin.

Fosil Cosmopolitodus Hastalis yang hampir lengkap itu ditemui kira-kira 235 km (146 batu) di selatan Lima, di lembangan Pisco, Peru, kawasan padang pasir panas yang terkenal dengan penemuan spesies marin purba.

Jerung tersebut dipercayai nenek moyang kepada jerung putih gergasi. Walaupun kini telah pupus, giginya suatu ketika dahulu boleh mencapai panjang sehingga 8.9 cm (3.5 inci), manakala saiz dewasanya boleh membesar hampir tujuh meter, setara dengan saiz bot kecil.

Cesar Augusto Chacaltana, seorang jurutera di institut geologi dan perlombongan Peru (INGEMMET), berkata fosil jerung itu menunjukkan proses fosilisasi yang luar biasa."

Penyelidik mempamerkan fosil jerung purba itu dalam beberapa bekas kaca, termasuk satu yang mengandungi rahang besar bergigi tajam.

"Tidak banyak fosil jerung lengkap di dunia," tambah ahli paleontologi Mario Urbina dalam pembentangan itu, sambil menyebut bahawa fosil sisa ikan sardin turut ditemui di dalam perutnya.

Urbina menjelaskan bahawa memandangkan ikan bilis belum wujud ketika jerung itu menghuni lautan terbuka, ikan sardin menjadi makanan utama bagi pemangsa marin.

Pada November lalu, ahli paleontologi Peru mempersembahkan fosil seekor buaya muda yang hidup lebih daripada 10 juta tahun lalu di luar pesisir Peru tengah, di mana terletaknya Pisco dan kawasan pertanian Ica.

Pada April tahun lepas, penyelidik mempamerkan fosil ikan lumba-lumba sungai terbesar yang diketahui setakat ini, yang pernah menghuni kawasan Amazon kira-kira 16 juta tahun lalu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE