KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Sidang kemuncak yang dirancang antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, ditangguhkan selepas mesyuarat awal antara wakil tertinggi kedua-dua negara ditunda.
Pertemuan itu sepatutnya menjadi langkah awal ke arah penganjuran sidang kemuncak di Budapest, Hungary, susulan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin minggu lalu.
Delegasi Amerika dijadual diketuai oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio, manakala Rusia diwakili Menteri Luar, Sergey Lavrov.
Bagaimanapun, pertemuan antara kedua-dua wakil dibatalkan tanpa sebarang penjelasan rasmi.
Sumber diplomatik memaklumkan penangguhan berlaku kerana perbezaan ketara dalam pandangan mengenai penyelesaian konflik Rusia-Ukraine.
Trump dilaporkan kekal komited untuk mencari penyelesaian damai, manakala Rusia dikatakan masih mengekalkan tuntutan tegas berhubung konflik tersebut.
Kedua-dua pihak sebelum ini menyifatkan perbualan antara pemimpin mereka sebagai "konstruktif", namun belum ada kemajuan konkrit dicapai.
Trump juga dilapor enggan mengadakan pertemuan sia-sia dengan Putin, tanpa mencapai sebarang kata sepakat.
Putin pula dalam maklum balas terbaharu menyatakan ia bukanlah penangguhan, kerana tidak ada tarikh ditetapkan untuk sidang kemuncak antara kedua-dua pemimpin.
Setakat ini, tiada tarikh baharu diumumkan bagi sidang kemuncak tersebut dan Rubio dijangka tidak akan mencadangkan pertemuan semula dalam tempoh terdekat.
Sidang terakhir antara Trump dan Putin berlangsung lebih dua bulan lalu di Alaska, namun berakhir tanpa sebarang persetujuan. - REUTERS