KYIV, 22 Oktober – Empat mangsa terkorban manakala 10 lagi cedera, selepas serangan dron Rusia menyasarkan bandar Novhorod-Siverskyi di wilayah Chernihiv, utara Ukraine.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Ukraine, serangan itu mengakibatkan kebakaran di sebuah bangunan kediaman, manakala satu lagi serangan turut mengenai kawasan berhampiran sebuah fasiliti perubatan di bandar berkenaan.
Pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran dan membantu mangsa yang terjejas.
“Menurut maklumat awal, empat orang disahkan terbunuh dan 10 lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak berumur 10 tahun,” kata agensi tersebut menerusi saluran Telegram rasmi.
Perang antara kedua-dua negara seakan tidak bernoktah, sejak tercetus pada 24 Februari 2022.
Rusia mendakwa tindakan itu bertujuan melindungi penduduk di wilayah timur Ukraine.
Namun, sejak konflik tercetus, berjuta-juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal, ribuan rumah musnah, dan ratusan kemudahan kesihatan serta pendidikan turut dihancurkan.
Pihak berkuasa Ukraine terus mengutuk tindakan itu sebagai pencerobohan tidak berperikemanusiaan yang memberi kesan buruk kepada penduduk awam, termasuk golongan kanak-kanak. - REUTERS