fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik, sebelum lawatan pemimpin dunia ke Seoul

Siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara/ AFP

SEOUL, 22 Oktober - Korea Utara melakukan pelancaran peluru berpandu balistik pelbagai jenis pada Rabu, yang merupakan ujian pertama dalam beberapa bulan, seminggu sebelum ketibaan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Korea Selatan bagi menghadiri sidang kemuncak Mesyuarat Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengesan beberapa objek dipercayai peluru berpandu balistik jarak dekat.

"Peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan Junghwa di Wilayah Hwanghae Utara sekitar pukul 8.10 pagi Rabu waktu tempatan," menurut kenyataan tentera.

Ini merupakan pelancaran pertama sejak Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, memegang jawatan pada Jun lalu.

Presiden Trump sebelum ini menyatakan harapan untuk bertemu pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, berkemungkinan tahun ini, susulan beberapa pertemuan yang diadakan ketika penggal pertamanya sebagai Presiden.

Media rasmi Korea Utara memetik kenyataan Kim bahawa beliau terbuka untuk meneruskan rundingan, namun menegaskan Amerika Syarikat perlu menghentikan tuntutan 'tidak realistik' supaya Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.

Awal bulan ini, Korea Utara mempamerkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang didakwa paling berkuasa pernah dihasilkan negara itu dalam satu perarakan ketenteraan yang turut dihadiri pegawai tertinggi dari Rusia dan China.

Menurut Pyongyang, peluru berpandu Hwasong-20 itu mempunyai jarak serangan 'tanpa batasan'.

Pada September, Kim menyelia ujian enjin bahan api pepejal bagi peluru berpandu nuklear jarak jauh. Media rasmi menyatakan merupakan ujian kesembilan dan terakhir, menunjukkan ujian pelancaran penuh peluru berpandu ICBM baharu itu mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

Korea Utara sejak bertahun-tahun menguji peluru berpandu jarak jauh yang didakwa mampu mencapai Amerika Syarikat, serta membangunkan varian bahan api pepejal yang lebih mudah digerakkan, disembunyikan dan dilancarkan dengan pantas berbanding peluru berpandu bahan api cecair.

Tuntutan Amerika Syarikat supaya Kim menghentikan penggunaan senjata nuklearnya kekal menjadi halangan utama dalam usaha diplomatik kedua-dua negara.

Pyongyang berada bawah sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu susulan program senjata nuklear dan peluru berpandu yang dilarang.

Korea Utara terus menegaskan bahawa negara itu tidak akan memansuhkan latihan nuklearnya, malah mengukuhkan hubungan dengan China dan Rusia.

Bagaimanapun, Pyongyang baru-baru ini memberi isyarat kesediaan untuk meneruskan rundingan dengan Washington.

Kim pernah bertemu Trump sebanyak tiga kali dalam sidang kemuncak berprofil tinggi ketika penggal pertama Trump, sebelum rundingan itu gagal di Hanoi pada 2019 berikutan pertikaian mengenai syarat pelucutan senjata nuklear.

Pada September lalu, Kim tidak menolak kemungkinan pertemuan baharu bersama Trump.

Trump dijadualkan tiba di Korea Selatan pada 29 Oktober bagi menghadiri Mesyuarat Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI