WASHINGTON, 22 Oktober - Calon pilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengetuai sebuah agensi pemantau persekutuan, Paul Ingrassia, menarik diri pada Selasa berikutan pendedahan laporan bahawa beliau menggambarkan dirinya mempunyai "kecenderungan ideologi Nazi".
Dalam satu hantaran di platform X, Ingrassia memaklumkan beliau menarik diri daripada sesi pendengaran yang dijadualkan Khamis ini di hadapan jawatankuasa Senat kerana "tidak mempunyai sokongan mencukupi daripada ahli Republikan pada masa ini".
"Saya menghargai sokongan yang diberikan sepanjang proses ini," menurutnya dalam hantaran tersebut.
Penarikan diri itu berlaku selepas Ketua Majoriti Senat, John Thune pada Isnin menggesa White House membatalkan pencalonan berkenaan — satu tindakan luar biasa dalam Senat yang dikuasai Republikan, yang sebelum ini jarang menolak pencalonan daripada Trump.
Menurut laporan Politico, Ingrassia turut menghina cuti umum sempena Hari Martin Luther King Jr. dalam mesej peribadi, selain didakwa menyokong penghapusan cuti-cuti yang meraikan budaya masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat seperti Juneteenth dan Bulan Sejarah Orang Kulit Hitam.
Dalam mesej lain dalam perbualan sama, beliau dilaporkan membuat hantaran "Kadangkala saya mempunyai sifat Nazi," lapor Politico.
Ingrassia, 30 tahun, merupakan seorang peguam dan bekas pengendali audio siar berhaluan kanan yang menyokong usaha Trump untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020.
Beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kehakiman serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dalam pentadbiran kedua Trump.
Trump mencalonkan Ingrassia pada Mei lalu untuk mengetuai Pejabat Penasihat Khas (Office of Special Counsel), yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan tindakan balas terhadap pemberi maklumat kerajaan serta menguatkuasakan sekatan terhadap penglibatan politik oleh penjawat awam.
Parti Republikan yang menguasai 53-47 kerusi di Senat sebelum ini jarang membantah pencalonan Trump, namun kontroversi terbaharu itu mencetuskan tentangan dalam kalangan ahli parti sendiri.- REUTERS