COLOMBIA, 22 Oktober - Bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe, pada Selasa menyambut keputusan mahkamah yang membatalkan sabitan terhadapnya berhubung kes penipuan dan rasuah dalam perbicaraan panjang melibatkan dakwaan mempengaruhi saksi.
"Saya hanya boleh katakan bahawa saya telah menyatakan perkara yang benar kepada rakyat sepanjang kerjaya awam saya yang panjang ini," menurut kenyataan Uribe yang dikeluarkan beberapa jam selepas dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
Mahkamah Tinggi Bogota membatalkan sabitan terhadap Uribe pada Selasa, sekali gus menamatkan satu episod dalam pertarungan undang-undang berlarutan selama 13 tahun yang telah memecahbelahkan pandangan rakyat Colombia.
Bekas presiden berusia 73 tahun itu, pernah memimpin negara tersebut dari 2002 hingga 2010, sebelum ini dijatuhkan hukuman pada Ogos lalu, menjadikannya bekas presiden pertama dalam sejarah Colombia yang berdepan sabitan sedemikian.
Peguam bela Uribe telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dengan alasan kesilapan dari segi undang-undang dan fakta, serta mendakwa berlakunya 'penilaian berat sebelah yang ketara.' Keputusan mahkamah turut membatalkan perintah tahanan rumah sebelum ini.
Senator Ivan Cepeda, yang terlibat dalam prosiding tersebut, menyatakan bahawa beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, yang berkemungkinan membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung Colombia.- REUTERS