GENEVA, 12 Julai – Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganjurkan Sidang Kemuncak Global AI For Good dari Selasa hingga Jumaat, di sini.
Ia menghimpunkan ribuan pihak berkepentingan dalam industri, kerajaan dan komuniti teknologi bagi membincangkan hala tuju pembangunan serta tadbir urus teknologi kecerdasan buatan (AI).
Melalui pameran, demonstrasi dan sesi perbincangan yang diadakan, sidang tersebut bertujuan mengetengahkan bagaimana AI berupaya menangani cabaran dunia sebenar dan mengubahnya menjadi peluang serta mengalakkan sektor teknologi untuk meneroka masa depan AI.
“Sebagaimana yang kita lihat dalam industri, lebih ramai orang menggunakan produk AI, lebih tinggi kos yang perlu ditanggung. Kita masih menghadapi cabaran dari segi kecekapan dan kos yang belum cukup rendah. Cabaran utama ialah bagaimana menjadikan model AI lebih berkuasa dengan kos yang jauh lebih rendah,” kata Naib Presiden Zhejiang Lab, Ye Jieping kepada China Central Television ketika ditemui semasa acara tersebut berlangsung.
Turut menjadi tarikan di sidang kemuncak itu ialah Nadine, sebuah robot humanoid dengan keupayaan sosial yang menyampaikan pandangannya mengenai masa depan AI.
Meskipun pelbagai isu dibangkitkan, para pakar bersetuju bahawa dua tahun kebelakangan ini menyaksikan kemajuan pesat dalam pembangunan AI dan potensinya untuk terus berkembang amat tinggi. -REUTERS