GENEVA, 12 Julai – Hampir 800 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dalam tempoh enam minggu lalu, menurut jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ravina Shamdasani.
Ia berlaku di kebanyakan kawasan agihan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.
Bercakap kepada media di Geneva pada Jumaat, Shamdasani memaklumkan bahawa pihaknya merekodkan 798 kematian sehingga 7 Julai, termasuk 615 kematian di sekitar lokasi agihan bantuan GHF dan 183 lagi dipercayai berlaku di sepanjang laluan konvoi bantuan.
“Di mana orang ramai beratur untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan, dan mereka diserang, mereka terpaksa memilih antara ditembak atau diberi makanan. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima dan ia masih berterusan,” katanya.
Menurut Shamdasani, sebahagian besar kecederaan yang direkodkan adalah akibat tembakan, menimbulkan persoalan besar mengenai pematuhan terhadap prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami dapati bahawa sebahagian besar mangsa korban di Gaza terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Ini menimbulkan persoalan serius sama ada prinsip-prinsip tersebut dihormati,” katanya lagi.
Kenyataan PBB ini dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap operasi bantuan yang dikendalikan secara langsung oleh pihak luar dan mengundang desakan agar pengagihan bantuan dikembalikan di bawah seliaan agensi-agensi kemanusiaan PBB yang bebas dan berkecuali. -REUTERS