KERRVILLE, 12 Julai – Ketika Texas masih bergelut dengan kesan banjir paling dahsyat, lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke bandar Kerrville pada Jumaat disambut dengan reaksi yang bercampur daripada penduduk.
Ada yang berasa terharu serta menyatakan kegusaran mendalam terhadap usaha bantuan bencana persekutuan.
Lawatan Trump diadakan seminggu selepas banjir besar mengorbankan sekurang-kurangnya 120 nyawa dan menyebabkan lebih 150 orang hilang di seluruh Texas, menjadikannya salah satu bencana alam paling besar dalam sejarah negeri itu.
Kerrville, antara kawasan yang paling terjejas, menjadi tumpuan lawatan bagi meninjau kerosakan dan bertemu pemimpin tempatan.
“Untuk beliau (Trump) datang ke sini dan mengiktiraf kesedihan serta kehilangan yang dialami rakyat, itu sesuatu yang penting. Rakyat mahu melihat seorang presiden yang bersama mereka, lebih-lebih lagi ketika waktu sukar seperti ini,” kata Stephanie Beecher-Kennison, penduduk Kerrville.
Namun bagi sebahagian penduduk lain, lawatan itu belum mencukupi. Ramai yang mengharapkan lebih daripada sekadar kehadiran simbolik, sebaliknya mereka mahu komitmen terhadap bantuan jangka panjang daripada kerajaan persekutuan.
“Saya mahu dengar sendiri apa yang akan beliau katakan dan bagaimana beliau akan membantu kami,” kata Maria Molina, seorang lagi penduduk tempatan.
Bantuan kemanusiaan berupa makanan, pakaian, dan tempat perlindungan telah mula disalurkan ke kawasan terjejas.
Namun, kebimbangan semakin meningkat berhubung keupayaan pemulihan jangka panjang, terutamanya selepas laporan media tempatan mendakwa bahawa pemotongan bajet dan pemberhentian kakitangan telah menjejaskan kecekapan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) selepas bencana berlaku.
White House bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, cadangan pentadbiran Trump untuk menutup beberapa agensi persekutuan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana turut mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk bahawa sumber bantuan akan berkurangan dalam tempoh akan datang. -REUTERS