fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan terbaharu ke atas Ukraine, dua terbunuh

Asap tebal menyelubungi bangunan di Lviv selepas serangan besar-besaran Rusia/ Foto AFP

KIEV, 12 Julai – Rusia melancarkan satu lagi serangan besar-besaran menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine dalam serangan malam Sabtu, dengan wilayah barat negara itu menjadi sasaran utama.

Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan terbunuh di bandar Chernivtsi, yang terletak berhampiran sempadan dengan Romania.

Menurut Timbalan Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiha, bandar-bandar utama di barat Ukraine seperti Lviv, Lutsk dan Chernivtsi mengalami kerosakan paling teruk akibat serangan tersebut.

Beberapa wilayah lain turut menjadi sasaran.

Di bandar Lviv, yang terletak berhampiran sempadan Poland, Datuk Bandar Andriy Sadovyi memaklumkan 46 buah rumah kediaman, sebuah bangunan universiti, kompleks mahkamah serta kira-kira 20 premis perniagaan kecil dan sederhana telah rosak akibat serangan tersebut.

Sementara itu, di bandar Kharkiv di timur Ukraine, Datuk Bandar Ihor Terekhov berkata Rusia telah melancarkan sepuluh serangan yang menyasarkan beberapa gudang dan sebuah tapak perindustrian yang tidak lagi beroperasi.

Pihak berkuasa tempatan kini giat menjalankan kerja-kerja menyelamat dan menilai tahap kerosakan yang berlaku. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN