fb fb fb fb fb

Sidang kemuncak G7: Jepun tingkat aspek keselamatan

(FOTO AFP)

TOKYO, 16 April - Jepun akan bertindak secara menyeluruh bagi memastikan keselamatan kenamaan asing yang menghadiri sidang kemuncak kuasa perindustrian Kumpulan Tujuh (G7).

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata tindakan sama perlu dibuat bagi memastikan kesediaan semua pihak berada di tahap maksimum sempena penganjuran persidangan itu yang dijadual berlangsung bulan depan.

(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida / FOTO AFP)

Katanya, sebarang tindakan keganasan perlu segera dibendung bagi memastikan ia tidak menyerang asas demokrasi Jepun.

Kishida terpaksa menjalani protokol keselamatan selepas seorang suspek membaling suar di ruang legar ketika beliau sedang bersiap sedia untuk berucap di sebuah majlis dekat barat Jepun, semalam.

Insiden itu mengimbas kembali tragedi ngeri pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe yang ditembak dengan pistol buatan sendiri ketika berkempen pada pilihan raya parlimen, Julai lalu.

Ahli politik Jepun dijadual berkempen bagi pilihan raya kecil untuk dewan rendah parlimen, pada 23 April ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno semalam berkata polis sudah diarahkan untuk meningkatkan keselamatan, manakala kerajaan akan melakukan tindakan perlu bagi memastikan keselamatan Kishida ketika mempengerusikan sidang kemuncak G7 di Hiroshima, Mei ini.

Menteri Luar G7 dijadual berkumpul hari ini, bagi menghadiri mesyuarat di bandar peranginan Karuizawa, manakala Menteri Alam Sekitar dan Tenaga kumpulan itu dijangka bertemu hujung minggu ini di Sapporo di utara Jepun. -REUTERS

Media Baharu