fb fb fb fb fb

Setengah juta mogok disebabkan krisis kos sara hidup di UK

(Guru dan pemandu kereta api adalah antara kumpulan terbaharu yang menyertai kempen
mogok, selain kakitangan Pasukan Sempadan Udara dan pelabuhan UK/AFP)

LONDON, 2 Februari- Tindakan setengah juta orang menyertai mogok menuntut kenaikan gaji di Britain menyebabkan rangkaian pengangkutan lumpuh dan beribu-ribu bilik darjah kosong.

Ia merupakan mogok terbesar dalam tempoh lebih sedekad.

Ketika Eropah berdepan krisis kos sara hidup, organisasi buruh utama Britain, Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) menggelarnya sebagai "hari terbesar tindakan mogok sejak 2011".

Pusingan terbaharu mogok diadakan pada Rabu, sehari selepas lebih 1.27 juta orang membanjiri jalan raya di Perancis, meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Perancis berhubung rancangan pembaharuan skim pencen.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menggesa agar kenaikan gaji adalah "munasabah" dan berpatutan, sambil memberi amaran bahawa kenaikan gaji yang besar akan menjejaskan percubaan untuk meredakan inflasi.

Tetapi kesatuan sekerja menuduh Sunak yang merupakan seorang jutawan, tidak peka dengan cabaran yang dihadapi pekerja biasa yang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup dalam menghadapi pekerjaan bergaji rendah, tidak selamat dan kos yang meningkat.

Guru dan pemandu kereta api adalah antara kumpulan terbaharu yang menyertai kempen mogok, selain kakitangan Pasukan Sempadan Udara dan pelabuhan UK.

Kesatuan pengajar NEU menganggarkan 85% sekolah di England dan Wales terjejas akibat mogok, sambil menambah bahawa ini menunjukkan "tahap kemarahan" dalam profesion.

Di samping mogok, kesatuan sekerja juga mengadakan perhimpunan di seluruh negara menentang rancangan kerajaan Konservatif untuk menggubal undang-undang terhadap tindakan mogok sektor awam. -AFP

(Stesen kereta api lengang setelah ditutup sepenuhnya/AFP)

Media Baharu