fb fb fb fb fb

Sertai Euro, Rakyat Bulgaria berbelah bahagi

Foto REUTERS

SOFIA, 31 Mei-Bulgaria dijangka mendapat lampu hijau daripada Brussels pada bulan Jun untuk menyertai zon Euro,namun prospek itu meresahkan ramai rakyatnya.

“Jika Bulgaria menyertai zon Euro, ia ibarat menaiki Titanic,” kata Nikolai Ivanov, seorang bekas pegawai kanan bersara, kepada AFP semasa satu protes baru-baru ini yang menuntut supaya mata wang negara itu, Lev dikekalkan.

Sejak Januari lepas, pihak yang menentang penggunaan mata wang Euro di Bulgaria telah melancarkan demonstrasi dan menuntut referendum mengenai isu tersebut, di tengah-tengah banjir maklumat palsu.

Kenangan krisis ekonomi 1996-1997 yang menyaksikan 14 bank muflis dan hiperinflasi melebihi 300 peratus turut kembali menghantui, sekali gus menyemarakkan lagi penentangan.

Beberapa tinjauan pendapat kebelakangan ini menunjukkan hampir separuh responden menentang penyertaan Bulgaria ke dalam zon euro.

Perdebatan itu telah mencetuskan semula propaganda anti-EU, dan ramai yang menentang penggunaan mata wang Euro dilihat mengibarkan bendera Rusia.

Bulgaria, yang menyertai Kesatuan Eropah pada tahun 2007, merupakan negara termiskin dalam blok tersebut.

"Dan “orang miskin takut menjadi lebih miskin,” kata Boriana Dimitrova, pengarah institut Alpha Research.

Keadaan itu, ditambah pula dengan rasa tidak percaya terhadap institusi selepas bertahun-tahun ketidakstabilan, mencipta ketakutan terhadap perubahan ekonomi dalam kalangan penduduk seramai 6.4 juta orang.

Ketakutan itu dipupuk oleh beberapa kumpulan politik, termasuk parti sayap kanan ekstrem Vazrazhdane, yang menyeru kepada protes anti-euro baharu pada hari Sabtu di ibu negara.

Presiden pro-Rusia Bulgaria, Rumen Radev, turut mengejutkan ramai apabila membuat pengumuman awal Mei yang menyokong referendum berhubung isu tersebut.

Minggu ini, beliau menuduh kerajaan gagal melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk membantu “golongan paling terjejas” menghadapi kejutan akibat penggunaan euro.

Sepertiga rakyat Bulgaria menghadapi risiko kemiskinan atau pengasingan sosial tahun lalu, menurut data Eurostat.

Rakyat di bandar kecil dan kawasan luar bandar khususnya berasa enggan menerima mata wang bersama itu, sebahagiannya kerana tidak pernah ke luar negara dan tidak biasa dengan urus niaga antarabangsa.

Maklumat palsu yang tersebar luas di media sosial mendakwa, secara salah, bahawa dengan pengenalan euro, “Brussels akan merampas simpanan anda untuk membiayai Ukraine”.

Dimitrova memberitahu AFP bahawa Radev sedang membuat “langkah politik yang dikira rapi”, memancing sokongan dalam kalangan pengundi yang kecewa.

Namun cadangan referendum beliau, yang dianggap “tidak berperlembagaan”, mencetuskan bantahan dalam kalangan pakar undang-undang dan daripada Speaker Parlimen Natalia Kiselova, yang enggan membawanya ke undian.

Sementara itu, suara-suara pro-Eropah terus bergelut untuk didengari.

“Di Sofia dan bandar-bandar besar, rakyat — yang lebih kaya, berpendidikan dan muda — melihatnya sebagai langkah logik dalam proses integrasi Eropah,” kata Dimitrova.

Institusi dan bank sudah bersedia, malah reka bentuk syiling telah dipilih, dengan  dua syiling Euro tempatan memaparkan tulisan “Tuhan lindungi Bulgaria”.

Namun, sebagai tanda kurangnya maklumat dan rasa rendah diri yang masih meluas di negara itu, “masih ada yang bertanya kepada saya sama ada Euro Bulgaria sah digunakan di Perancis atau Jerman,” kata Dimitrova.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD