SINGAPURA, 31 Mei-Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth memberi amaran bahawa China kini "bersiap sedia" untuk menggunakan kekuatan tentera bagi mengubah keseimbangan kuasa di Asia, sambil menegaskan bahawa AS "akan terus kekal" di rantau Indo-Pasifik.
Beliau menyampaikan kenyataan itu semasa Forum Keselamatan Tahunan di Singapura, ketika pentadbiran Presiden Donald Trump sedang bergelut dengan China dalam isu perdagangan, teknologi dan pengaruh geopolitik.
Sejak mengambil alih jawatan pada Januari, Trump telah melancarkan perang perdagangan terhadap China, menyekat aksesnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), serta memperkukuh hubungan keselamatan dengan sekutu seperti Filipina yang terlibat dalam pertikaian wilayah dengan Beijing.
Hegseth berkata ancaman yang ditimbulkan oleh China adalah nyata dan boleh berlaku dalam masa terdekat. China menurutnya, sedang membina keupayaan ketenteraan untuk menyerang Taiwan dan "sedang mengadakan latihan insentif untuk serangan sebenar".
China telah meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Taiwan termasuk menjalankan beberapa latihan berskala besar di sekeliling pulau itu, yang dilihat sebagai persiapan untuk sekatan atau pencerobohan.
AS kini memberi tumpuan kepada usaha mengekang pencerobohan oleh China, dan menyeru sekutunya di Asia agar segera meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing.
Hegseth turut menggambarkan tindakan China sebagai satu amaran serius, malah menuduh Beijing membahayakan nyawa melalui serangan siber, mengganggu jiran-jirannya, dan “merampas serta mempersenjatai” kawasan di Laut China Selatan secara haram.
China menuntut hampir keseluruhan perairan Laut China Selatan, yang merupakan laluan lebih 60% perdagangan maritim global, walaupun mahkamah antarabangsa telah menolak tuntutan tersebut
Menurut Casey Mace, Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan AS Singapura, tindakan agresif China di Laut China Selatan telah meningkat dan menjadi topik penting dalam forum pertahanan tersebut.
China bagaimanapun tidak menghantar pegawai kanan kementerian pertahanannya ke sidang itu, sebaliknya menghantar delegasi dari Universiti Pertahanan Nasional Tentera Pembebasan Rakyat.
Ucapan Hegseth menyusul selepas Trump kembali meningkatkan tekanan perdagangan terhadap China dan menuduh Beijing melanggar perjanjian pengurangan tarif yang dipersetujui sebelum ini.
Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menangguhkan tarif selama 90 hari, namun Trump mendakwa China telah “melanggar sepenuhnya” perjanjian itu.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer pula menyelar China kerana terus menyekat akses kepada mineral penting dan menambah bahawa defisit perdagangan AS dengan China kekal besar tanpa perubahan ketara.
Hegseth menegaskan bahawa Indo-Pasifik merupakan "medan utama" bagi AS, dan berikrar untuk memastikan "China tidak dapat menguasai rantau berkenaan.
Beliau turut menyebut peningkatan kerjasama AS dengan negara seperti Filipina dan Jepun, serta mengulangi janji Trump bahawa "China tidak akan menyerang Taiwan sepanjang tempoh beliau menjadi presiden".
Hegseth juga menggesa sekutu di Asia mencontohi Eropah dalam meningkatkan perbelanjaan ketenteraan. Beliau memetik komitmen negara-negara NATO, termasuk Jerman, untuk bergerak ke arah sasaran Trump iaitu lima peratus daripada KDNK.
“Pencegahan tidak datang dengan kos yang murah,” katanya.-AFP.