fb fb fb fb fb

Poland pilih Presiden baharu esok

Penyokong mengibarkan bendera Poland untuk calon presiden, Datuk Bandar Warsaw dan ahli parti pemerintah berhaluan tengah Civic Coalition, Rafal Trzaskowski, semasa himpunan politik terakhirnya di Gdansk, utara Poland. / Foto AFP

WARSAW, 31 Mei-Dua calon utama dalam pilihan raya presiden Poland, Rafal Trzaskowski dan Karol Nawrocki telah menamatkan kempen masing-masing pada Jumaat menjelang pusingan kedua pengundian yang dijadualkan pada 1 Jun.

Rafal Trzaskowski, 53, calon centrist dan Datuk Bandar Warsaw sejak 2018, mengadakan rapat umum terakhirnya di Gdansk, kota simbolik kepada gerakan Solidariti Poland.

Beliau, yang pernah tewas tipis kepada Andrzej Duda dalam pilihan raya presiden 2020, kini mendahului sedikit dalam tinjauan terbaharu.

Antara janji utama Trzaskowski ialah membangunkan industri senjata dan teknologi negara, mengukuhkan kedudukan Poland dalam Kesatuan Eropah (EU), serta memperkenalkan perkongsian sivil untuk pasangan LGBT.

Tinjauan oleh Pollster untuk akhbar Super Express menunjukkan Trzaskowski menerima sokongan 46% pengundi, sementara pencabarnya Karol Nawrocki mencatat 41%, dengan baki 13% masih belum membuat keputusan.

Kemenangan Trzaskowski dijangka membuka laluan kepada usaha kerajaan Poland untuk menyelaras semula dasar kehakiman dan hak asasi manusia agar selari dengan norma EU, termasuk dalam isu kebebasan badan kehakiman dan hak LGBT.

Sementara itu, calon nasionalis Karol Nawrocki, 42, yang disokong parti pembangkang konservatif Law and Justice (PiS), menamatkan kempen di utara Poland.

Nawrocki pernah mengetuai Muzium Perang Dunia Kedua di Gdansk (2017–2021) dan kini memimpin Institut Peringatan Negara Poland.

Beliau mengangkat isu cukai rendah, penarikan diri daripada Pakatan Migrasi dan Perjanjian Hijau EU, serta menolak perluasan hak untuk komuniti LGBT.

Namun begitu, kempen Nawrocki dicemari pelbagai kontroversi peribadi termasuk laporan tentang pembelian rumah flat daripada seorang pesara dan pengakuan terlibat dalam pergaduhan terancang.

Tindakan beliau memasukkan pek tembakau 'snus' ke bibir semasa debat siaran langsung turut menerima kecaman, dengan 53% responden menyifatkannya tidak wajar dalam tinjauan Opinia24.

Meskipun begitu, sokongan terhadap Nawrocki kekal kukuh, dengan kajian CBOS menunjukkan 99% penyokong beliau dalam pusingan pertama bertekad mengundi beliau semula dalam pusingan kedua.

Pilihan raya berkenaan dilihat sebagai titik penting dalam haluan politik Poland sama ada terus mara ke arah dasar liberal pro-Eropah yang inklusif di bawah Trzaskowski, atau kembali kepada pendekatan konservatif berteraskan nilai nasional dan kedaulatan seperti dibawa Nawrocki.

Keputusan pilihan raya itu dijangka memberi impak besar bukan sahaja terhadap landskap politik Poland, tetapi juga hubungan negara itu dengan Kesatuan Eropah dalam isu migrasi, iklim dan hak asasi manusia.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD