fb fb fb fb fb

Serangan udara terbaharu Israel, pusat agihan bantuan ditutup sementara

Foto AFP

GAZA, 5 Jun - Pusat agihan bantuan di Semenanjung Gaza ditutup sementara.

Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) selaku pertubuhan yang mengendalikan pusat tersebut membuat pengumuman itu, susulan terdapat beberapa kes kematian berhampiran tapak agihan.

Tentera Israel pula memberi amaran bahawa laluan ke pusat-pusat itu dianggap sebagai zon pertempuran.

Menurut agensi pertahanan awam wilayah, tentera Israel membuat serangan udara semalam dan mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang di Gaza.

Ini termasuk 12 individu dalam satu serangan ke atas khemah perlindungan yang menempatkan penduduk dipindahkan.

Kelmarin tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran sebuah tapak bantuan GHF yang menyebabkan 27 orang terkorban.

Kerajaan Israel memaklumkan bahawa insiden itu kini masih dalam siasatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengecam serangan itu, manakala Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyifatkan serangan terhadap orang awam sebagai jenayah perang selepas kes serupa berlaku di kawasan yang sama Ahad lalu.

Israel baru-baru ini melonggarkan sekatan ke atas Gaza, namun membenarkan bantuan masuk secara terhad.

Menurut PBB, seluruh penduduk wilayah itu masih berisiko mengalami kebuluran.

Kekurangan makanan di Gaza mencetuskan gesaan baharu pada peringkat antarabangsa supaya perang dihentikan, namun sinar perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih belum kelihatan. - AFP

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM