BEIRUT, 25 Disember- Serangan udara Israel menyasarkan wilayah Baalbek di timur negara itu pada Rabu, lapor media Lubnan.
Serangan berkenaan disifatkan sebagai "pelanggaran" gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah yang berkuat kuasa pada 27 November lalu.
Bagaimanapun serangan berhampiran bandar Tarya tidak meragut nyawa, kata Agensi Berita Nasional namun serangan itu dilabel sebagai "pelanggaran pertama perjanjian gencatan senjata" di kawasan Baalbek.
Sumber keselamatan Lubnan yang enggan dikenal berkata serangan itu menyasarkan "gudang yang dipercayai milik Hizbullah".
Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pasukan pengaman Amerika Syarikat, Perancis, Lubnan, Israel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ditugaskan untuk memantau gencatan senjata selain memastikan tiada serangan dilancarkan.
Dalam pada itu Lubnan meminta pihak-pihak berkaitan khususnya Amerika Syarikat dan Perancis untuk mendesak Israel supaya berundur dari selatan negara itu bawah terma perjanjian berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada gencatan senjata, tentera Lubnan dan pasukan pengaman akan ditempatkan di selatan Lubnan apabila tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari, yang akan tamat pada Januari 2025.- AFP