GAZA, 24 April– Dua orang awam Palestin terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel pada petang Rabu di Deir al-Balah, tengah Gaza, menurut sumber tempatan.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber tersebut melaporkan bahawa tentera Israel menyasarkan sekumpulan orang awam di bandar berkenaan.
Sementara itu, sumber perubatan melaporkan jumlah korban akibat serangan udara Israel di seluruh Gaza sejak awal pagi Rabu meningkat kepada 37 orang.
Israel mengakhiri perjanjian gencatan senjata Gaza dan menyambung serangan ke atas Gaza pada Selasa, 18 Mac; melancarkan siri serangan udara berdarah di seluruh kawasan itu yang mengakibatkan ratusan rakyat Palestin terkorban, termasuk lebih 100 kanak-kanak.
Sejak serangan dimulakan pada Oktober 2023, Israel telah membunuh 51,305 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan 117,096 orang.
Selain itu, sekurang-kurangnya 10,000 individu masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kediaman mereka.
Serangan itu turut mengakibatkan hampir dua juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman, dengan majoriti besar mencari perlindungan di bandar selatan Rafah, menjadikannya penghijrahan besar-besaran terbesar rakyat Palestin sejak Nakba 1948.