SYDNEY, 24 April- Australia bakal mewujudkan satu rizab strategik bagi galian kritikal sebagai usaha mengukuhkan keselamatan bekalan sumber penting negara itu.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata langkah tersebut diambil ketika negara-negara kuasa besar sedang bersaing untuk mendapatkan akses kepada unsur nadir bumi dan logam penting lain.
Jelasnya, usaha itu dilaksana dalam mengurangkan kebergantungan terhadap China.
Australia yang terkenal sebagai kuasa besar dalam sektor perlombongan, memiliki simpanan besar galian kritikal seperti litium, nikel dan kobalt.
Namun begitu, kebanyakan sumber tersebut dijual dalam bentuk bijih mentah untuk diproses di kilang-kilang China.
Menurut Albanese, kerajaan kini merancang untuk menyimpan sumber-sumber tersebut di dalam negara bagi tujuan strategik sebelum menjualkannya kepada rakan dagang utama Australia.
“Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan Australia dapat memaksimumkan nilai strategik galian kritikal yang dimilikinya,” katanya dalam satu kenyataan.
China kini menguasai sebahagian besar rantaian bekalan global bagi pemprosesan galian kritikal dan situasi itu dilihat boleh menjadi medan pertikaian baharu dalam ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara Washington dan Beijing.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini telah mengarahkan siasatan terhadap potensi pengenaan tarif ke atas import galian kritikal, yang digunakan secara meluas dalam pelbagai produk termasuk telefon pintar, turbin angin dan motor kenderaan elektrik.- AFP