fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel ragut 31 lagi nyawa di Gaza

Keadaan di kawasan sekitar hospital Kamal Adwan, Jabalia selepas serangan Israel/ REUTERS

KAHERAH, 4 November- Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 31 lagi penduduk di Gaza, kata pegawai perubatan Palestin.

Hampir separuh daripada kematian berpunca daripada serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Zionis itu.

Penduduk Palestin berkata, serangan melalui udara dan darat dilihat sebagai tindakan kejam yang ingin menghapuskan penduduk Gaza.

Menurut pakar perubatan sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berasingan ke atas kediaman di bandar Beit Lahiya dan Jabalia.

Kawasan berkenaan menjadi tumpuan serangan baharu tentera.

Namun selebihnya terbunuh dalam serangan udara berasingan di Bandar Gaza dan di kawasan selatan, termasuk satu di Khan Younis.

Sementara itu pada Ahad, pegawai kesihatan di Hospital Kamal Adwan dekat Beit Lahiya memaklumkan kemudahan itu turut diserang menyebabkan pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di sana turut cedera akibat serangan itu.

Pengarah hospital itu, Hussam Abu Safiya berkata, kejadian itu berlaku selepas delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melawat fasiliti berkenaan dan memindahkan beberapa pesakit.

Pemindahan mangsa yang cedera ke kawasan yang selamat adalah penting, namun Gaza lebih memerlukan pasukan perubatan khusus terutamanya di hospital di utara Gaza.

Ia berikutan angka penduduk yang cedera semakin bertambah.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan tentera Israel di utara Gaza menghalang mereka daripada memberi vaksin kepada beribu-ribu kanak-kanak di Jabalia, Beit Lahiya, dan Beit Hanoun.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI