GAZA, 26 Mei– Seramai 13 individu disahkan maut, manakala 21 lagi cedera selepas sebuah sekolah di Gaza diserang tentera Israel awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Awam Gaza, serangan ke atas Sekolah Fahmi Al-Jarjawi di kawasan kejiranan Al-Daraj itu berlaku ketika orang awam masih berada di lokasi berkenaan.
Israel terus memperhebatkan operasi ketenteraan di wilayah terbabit, lebih 18 bulan selepas konflik tercetus susulan serangan Hamas pada Oktober 2023.
Situasi berkenaan mengundang kecaman masyarakat antarabangsa apabila sekatan bantuan kemanusiaan yang berlanjutan hampir tiga bulan dilihat memburukkan lagi krisis makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan.
Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menggesa sekatan dikenakan ke atas Israel, termasuk larangan penjualan senjata serta tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggagalkan penyelesaian dua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan penyelamat turut melaporkan sekurang-kurangnya 22 nyawa terkorban dalam beberapa siri serangan udara Israel di lokasi berasingan semalam, termasuk tujuh mangsa dalam serangan di Jabalia.
Pasukan Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa operasi menyelamat terjejas susulan kekurangan peralatan khas dan jentera berat bagi mengangkat runtuhan.